Tuesday, September 2, 2008

Kuseru Rindu Itu 7

Hisyam mengukir senyum pada pelayan yang sedang menghidangkan makanan. Untuk ke sekian kalinya matanya jatuh ke wajah Maisara yang mencuka. Sudah hampir setengah dia di situ, gadis itu masih belum bersuara. Ternyata Maisara lebih senang berdiam diri bersama muncungnya yang panjang. Hatinya dijentik rasa geram. Setelah lebih dua minggu dia tidak bertemu dengan Maisara, dia tidak mengharapkan reaksi sebegini daripada Maisara. Dari tadi, cuma dia sahaja yang bercakap. Bercakap seorang diri. Itu lebih tepat rasanya. Maisara langsung tidak turut serta dalam bicara-bicaranya.
“Sara.. takkan nak buat muka macam ni, sampai abang hantar pulang nanti?,”Hisyam bersuara lagi sebaik pelayan tadi meninggalkan mereka. Maisara tetap membisu.
“Sara.. apa lagi yang Sara nak bang lakukan? Abang dah minta maaf, kan? Sara belum maafkan abang ke?,”
Maisara menjeling sekilas. Rasa geram dengan layanan Hisyam padanya masih berbekas di hati.
“Kalau belum, takkan Sara nak keluar dengan abang,”balas Maisara dingin.
“Kalau dah maafkan, kenapa tarik muka macam tu?,”
“Saja..,”
“Tak usahlah buat lagi. Buruk, tahu,”ujar Hisyam bergurau.
“Abang! Janganlah cakap macam tu,”Maisara terjerit kecil mendengar kata-kata Hisyam. Jemarinya pantas mencari lengan Hisyam. Satu cubitan singgah di situ. Tanpa sedar, senyuman terukir di bibirnya.
“Aduh. Sakit sayang,”Hisyam mengaduh sambil menggosok lengannya yang terasa perit.
“Cakap apa? Buruk? Betullah abang cakap tu. Tarik muka panjang macam tu, buruk tahu,”
“Abang.. Janganlah cakap macam tu,”
Hisyam tergelak.
“Tak mahu abang cakap macam tu, jangalah buat muka macam tu lagi. Senyumlah sikit. Haa.. macam tu. Barulah berselera abang nak makan,”
Maisara tersenyum manis. Rajuknya hilang entah ke mana. Cair dengan pujukan Hisyam.
“Makanlah,”pelawa Hisyam sambil mencapai sudu dan garfu di hadapannya. Maisara menggeleng sambil menongkat dagu merenung wajah Hisyam. Rindunya dia pada lelaki ini.
“Abang jumpa Sara ni, isteri abang tahu ke?,”
Suapan Hisyam terhenti. Matanya perlahan-lahan mencari renungan Maisara.
“Sejak bila Sara mula ambil tahu pasal isteri abang ni, ya?,”
“Sejak Sara rasa hubungan kita macam tergantung. Ke atas tidak. Ke bawah pun tidak,”
“Apa maksud Sara?,”
Maisara menarik nafas panjang. Membetulkan duduknya. Dia bersandar tegak pada kerusi sambil matanya terus menghalusi reaksi yang terpamer di wajah Hisyam.
“Hubungan kita macam tak ada masa depan. Abang tak rasa macam tu ke?,”
Hisyam menggeleng.
“Abang dah beritahu isteri abang pasal kita?,”
“Belum,”
“Bila abang nak berterus terang dengan dia?,”
Hisyam menahan nafas seketika. Suapannya sudah tidak selaju tadi. Ternyata soalan Maisara membuat selera makannya hilang tiba-tiba.
“Nantilah,”
“Bila?,”soal Maisara agak tegas. Tidak mempedulikan reaksi Hisyam yang jelas nampak kurang senang dengan soalannya itu.
“Abang perlukan masa,”
“Dah setahun. Pun masih belum cukup lagi? Abang perlukan masa atau abang perlukan keberanian untuk berterus terang dengan isteri abang tu? Atau.. Abang memang berhasrat untuk tidak berterus terang sampai bila-bila?,”
“Sara.. kenapa cakap macam tu?,”Hisyam sedikit tersentap dengan kata-kata Maisara. Agak keras dan sinis. Dia berasa tersindir. Dan berasa tercabar.
Maisara tersenyum kecil. Dia tahu dia agak keterlaluan. Tetapi, dia perlukan kepastian daripada Hisyam. Dia takut kalau-kalau dia cuma barang permainan bagi Hisyam. Dia tidak mahu dipermainkan. Dia juga tidak mahu dikecewakan.
“Sara takut abang cuma nak permainkan Sara,”
Hisyam tergelak halus mendengar pengakuan itu.
“Sara.. Kan abang dah cakap hari tu. Perasaan abang pada Sara, bukan main-main. I’m serious,”
“Ya. Sara tahu. Tapi, Sara bimbang,”
“Apa lagi yang Sara nak bimbangkan? Abang tak akan tipu Sara,”
“Mata Sara juga tak menipu, bang,”
“Apa pula ceritanya ni?,”soal Hisyam, tidak faham dengan kata-kata Maisara.
“Sara nampak abang tempoh hari. Di restoran. Bersama isteri dan anak abang. Abang kelihatan seperti pasangan yang sangat bahagia. Itulah yang menakutkan Sara. Takut kalau-kalau Sara sudah tak diperlukan lagi,”
Hisyam mengeluh panjang. Tanganya pantas menggenggam jemari Maisara. Maisara tunduk.
“Sara tak perlu takut. Abang sayangkan Sara. Cintakan Sara. Percayalah pada abang,”
“How about your wife? Sara tak nak jadi kekasih abang selama-lamanya. Sara nak kita kahwin. Boleh abang tunaikan permintaan Sara ni?,”
“Kahwin?,”
“Yes. Kahwin. Rasanya sekarang dah tiba masanya untuk kita fikirkan soal kahwin,”
Hisyam terdiam. Memang itu impiannya. Tetapi, apabila disuarakan oleh Maisara, hatinya menjadi tidak menentu. Tiba-tiba dia teringatkan Idayu. Mengambil keputusan untuk mengahwini Maisara, bermakna dia terpaksa berterus terang dengan Idayu. Bukan sahaja dengan Idayu, malah dengan kedua ibu bapanya. Bermakna, untuk dia bersama dengan Maisara,dia terpaksa melukakan hati tiga insan lain. Kuatkah dia untuk melakukan itu semua?
“Kenapa diam? Abang tak setuju dengan pendapat Sara?,”
“Bukan macam tu..,”
“So, what is the problem?,”soal Maisara sedikit keras.
Hisyam menarik nafas perlahan-lahan. Cadangan Maisara yang mendadak membuat dia tidak dapat berfikir dengan baik. Perlahan dia mengenggam jemari Maisara. Mencari-cari perkataan yang sesuai untuk diluahkan, Maisara menarik tangannya. Genggaman Hisyam terlepas. Wajah gadis itu kembali mencuka.
“I’ll think about it,”akhirnya Hisyam bersuara dengan nada yang tidak meyakinkan langsung. Maisara tergelak sinis.
“I’ll think about it? Think about it? Nak kahwin dengan Sara pun, kena fikir dulu ke? Dah tu, kita bercinta selama ini, untuk apa? Untuk suka-suka? Abang ingat Sara apa?,”
“No. Bukan itu maksud abang. Sara jangan salah faham. Abang cuma perlukan masa untuk fikir bila masa yang sesuai untuk kita kahwin,”
“Sekarang. Sara mahu kita mula tentang perkahwinan kita sekarang!,”cukup tegas kata-kata yang meniti di bibir Maisara. Maisara nekad. Dia perlu bertegas dengan Hisyam. Sukar untuk dia menduga kejujuran Hisyam. Dia bimbang kata-kata Anis tentang Hisyam, benar belaka. Dia bimbang kalau-kalau Hisyam tidak serius untuk mengahwininya.
“Abang dengar tak?,”Maisara bertanya apabila Hisyam terus membisu.
“Abang dengar. Sara beri abang masa. Abang perlu berterus terang, bukan saja dengan isteri abang, tetapi dengan kedua ibu bapa abang juga. Pasti makan masa. Abang harap Sara faham,”
“Bila abang nak beritahu isteri abang?,”
“Abang akan cuba beritahu secepat yang mungkin. Sara sabar dulu, ya?,”
“Kalau abang tak berani nak berterus terang dengan isteri abang, biar Sara sendiri yang berterus terang dengan dia. Sara sanggup jumpa dia, bang,”
“No. Biar abang yang selesaikan sendiri hal abang dengan isteri abang. Apa yang abang harapkan sekarang.. satu saja. Sara harus faham kedudukan abang dan bersabar,”
Maisara diam. Matanya merenung wajah Hisyam. Kejujuran jelas terpancar pada renungan lelaki itu. Tidak mungkin Hisyam berbohong. Dan itulah yang membuat dia sering kalah pada Hisyam.
“Abang janji?,”
Hisyam tersenyum. Kemarahan Maisara sedikit reda. Itu cukup membuat Hisyam berasa lega. Jemarinya kembali mencari jemari milik Maisara.
“Janji, sayang,”ujar Hisyam perlahan. Maisara tersenyum kecil.
“Sara cuma ingin menjadi isteri abang. Sara tak bermaksud nak ugut abang. Sara harap abang faham,”
Sambil menepuk perlahan jemari Maisara, Hisayam mengagguk. Bersama dengan sekuntum senyuman yang menbuang jauh-jauh rasa marah dan geram Maisara.
“Jangan merajuk lagi ya. Susahnya abang nak pujuk.
Maisara tergelak sambil tetunduk malu.

****

5 comments:

Anonymous said...

urrggghhh!!! geramnya sma hisyam n sara tu.. kecian pla sma idayu.. akak, cpt² la kuarkn n3 tbaru k..

emosi pla sya baca cta ni.. (~.^)
CuteyRyNee

Anonymous said...

sedih nye crite ni.. tnpa di sedari air mata sy mngalir lak.. hhuu..huhuh.. cepat la sambung crita ni.. hisyam kejam.... kesian kat ayu...

Unknown said...

cerita ini memang berlaku di masyarakat kita..kalau manusia tak dapat kawal perasan tamak dan nafsu maka lahirlah insan seperti "hisyam"...

Anonymous said...

Hisyam adalah seorang watak yang amat hipokrit.....

Dan ayu adalah wanita yg teraniaya...

Jangan sampai shafiq menjadi mangsa keadaan...

maya said...

kalau lar aku jumpa lelaki mcm ni.baik cincang je.xmenghargai seorang wanita.cian tol kat idayu