Tuesday, September 2, 2008

Di penghujung Rindu 3

Daun pintu ditolak perlahan. Matanya menjengah ke dalam bilik. Liar memerhati keadaan di dalam bilik yang sudah lama tidak berpenghuni itu. Segalanya masih tersusun elok. Kakinya mula mengatur langkah memasuki bilik itu. Segalanya masih seperti dulu. Langsung tidak berubah.
“Maksu sengaja jaga bilik ni. Mana tahu satu hari nanti bilik ni, berpenghuni semula. Macam dulu-dulu,”
Nurul Huda sedikit tersentak dengan kehadiran Mak Su Senah. Dia berpaling. Mak Su Senah tercegat di pintu bersama Faiz. Dia tersenyum kecil, sambil matanya meneliti setiap barang yang tersusun di bilik itu. Matanya mati pada seraut wajah di dalam bingkai gambar di atas meja. Wajah yang satu ketika dulu, terlalu rapat dengannya. Wajah yang telah mengajarnya erti sebuah pengorbanan. Tiba-tiba hatinya menjadi sayu. Rindukah dia pada lelaki itu?
Perlahan dia melabuhkan punggung ke katil. Kenangan lalu kembali menerpa di kotak fikiran. Sudah lebih lima tahun wajah itu tidak ditatapnya. Kuatkah dia, andai satu hari mata ini bertembung dengan renungan tajam lelaki itu? Gagahkah dia untuk membuang segala kepiluan yang terhimpun di hatinya sekian lama? Mampukah dia menerima lelaki itu seadanya? Mampukah dia berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku antara mereka? Atau… barangkali lelaki itu sudah lupa sebaris nama miliknya? Nurul Huda tersenyum pahit. Walau di mana Abang sekarang, Huda harap Abang bahagia… hatinya berbisik sendiri.
“Huda teringatkan Along?,” soal Mak Su Senah lembut. Nurul Huda mengangkat muka. Dia cuma tersenyum hambar. Bagaimana dia harus menjawab soalan itu. Dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang dia rasa. Rindu? Wajarkah dia rindu pada seseorang yang sudah dimiliki? Benci? Wajarkah dia benci pada seseorang yang budinya melangit pada dirinya. Tak mungkin dapat dia balas segala budi lelaki itu.
“Satu hari nanti, Along pasti pulang,”
Nurul Huda tergelak kecil.
“Tak mungkin, Maksu,”bisiknya perlahan. Seolah-olah kata-kata itu cuma untuk dirinya sahaja. Mak Su Senah melabuhkan punggung di sebelah Nurul Huda. Dia sebenarnya tidak faham dengan apa yang sedang bergolak di jiwa anak saudaranya itu. Pelarian Nurul Huda selama lebih lima tahun, masih belum diketahui puncanya. Hati tuanya kuat mengatakan bahawa, Nurul Huda bukan lari dari sini disebabkan pemergian bapanya secara tiba-tiba. Ada sebab lain yang mendorong perempuan ini menjadi pelarian di bumi asing.
“Kenapa Huda cakap macam tu? Kalau Along tahu Huda dah balik, mesti dia datang cari Huda,”
Nurul Huda diam. Wajah Mak Su Sena ditatap hiba. Maksu tak tahu apa yang berlaku. Maksu tak akan faham. Hatinya berbisik sendiri.
“Huda marahkan Along ke?,”
Nurul Huda menggeleng. Tidak! Dia tidak pernah marah pada lelaki itu. Dia tidak layak untuk marah pada lelaki itu. Malah dia harus berterima kasih pada seorang lelaki bernama Helmi. Kerana Helmi, impiannya menjadi kenyataan.
“Saya tak pernah marahkan Abang Helmi. Jauh sekali berdendam dengan Abang Helmi. Abang Helmi banyak berkorban untuk saya. Saya terhutang budi dengannya, Maksu,” ujar Nurul Huda sambil menarik Faiz ke ribaannya. Mak Su Senah memandang wajah itu dengan renungan yang sarat dengan tanda tanya.
“Takkan Huda tak nak usahakan untuk bersama dengan Along lagi? Sudah lebih lima tahun Huda tinggalkan semuanya. Belum hilang lagi ke marah Huda pada Along? Barangkali dalam tempoh yang begini lama, ada perubahan yang boleh membahagiakan Huda. Maksu tak tahu apa sebenanya yang berlaku. Tapi, wajah Huda… wajah Helmi…Maksu tahu ada sesuau yang tidak kena. Huda marah Helmi sebab dia tak balik semasa arwah ayah Huda meninggal dulu, ya?,”
“Saya tak pernah marah Abang Helmi, Maksu. Dan… cuma satu benda saja yang boleh membahagiakan saya. Kebahagiaan Abang Helmi. Cuma itu sahaja yang boleh buat saya bahagia. Tak kiralah di mana Abang Helmi sekarang, saya cuma berharap sangat dia sedang hidup bahagia,”
Mak Su Senah mengeluh panjang.
“Dah tu… Faiz macam mana?,”
Nurul Huda diam. Pipi Faiz dicium bertalu. Soalan itu dibiarkan sepi. Mak Su Senah mengeluh lagi.
“Sapa ni, mama?,”soalan Faiz secara tiba-tiba, membuat Nurul Huda kelu. Tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan semudah itu. Sudahnya dia cuma mampu memandang Faiz yang leka menatap foto Helmi. Mak Su Senah pula tajam menatap wajahnya. Menanti jawapan yang bakal keluar dari mulutnya barangkali. Akhirnya dia cuma mengusap perlahan rambut anak tunggalnya itu.
“Mama!,”
“Ya sayang. Apa dia?,”
“Who is this?,” mulut kecil itu megulangi soalan yang sama.
“Your uncle,”jawab Nurul Huda pendek. Mak Su Senah mengeluh perlahan. Nurul Huda bungkam. Dia sebenarnya serba salah. Tidak tahu jawapan yang bagaimana harus diberi bagi menjawab soalan anak kecil itu. Dia tahu ibu saudaranya itu tidak setuju dengan jawapan yang dia berikan.
“Faiz keluar dulu ya. Mama nak kemas bilik ni kejap. Just for a while. Ok?,”
“I help you?,”lancar mulut kecil itu menawarkan pertolongan.
“No. Thanks. Faiz pergi kemas mainan Faiz. Ok?,”
“Ok,”jawabnya sepatah sambil mengangguk. Sekalip mata anak itu sudah berlari keluar. Nurul Huda menghela nafas lega. Sekurang-kurangnya tiada lagi soalan bakal keluar dari mulut kecil itu. Dan… dia pula, tidak perlu terus menipu anak sekecil itu.
“Tak baik tipu budak kecil macam tu, Huda..,”Mak Su Senah mula bersuara. Meluahkan rasa tidak puas hatinya. Nurul Huda menghela nafas panjang.
“Saya tahu, Maksu. Saya pun tak suka menipu macam ni. Tapi, saya nak buat macam mana? Kalau saya cakap benda yang betul, nanti lain pula jadinya. Lagipun, dia terlalu kecil untuk semua ni,”
“Itu sebabnya Maksu cakap, Huda kena cari Helmi. Dia berhak tahu. Faiz pun berhak tahu. Kan senang macam tu,”
“Maksu tak faham..,”Nurul Huda bersuara lemah. Ayatnya tinggal tergantung. Tidak tahu bagaimana hendak dia jelaskan pada Mak Su Senah.
“Apa lagi yang maksu tak faham? Huda tolong jelaskan pada Maksu. Biar Maksu faham,”
Nurul Huda menarik nafas panjang. Wajah Mak Su Senah dipandangnya. Agak lama. Perlahan dia menggenggam jemari ibu saudaranya itu.
“Tak ada apa-apa maksu,”ujarnya bersama sekuntum senyuman yang mekar di bibirnya, Mak Su Senah mencebik marah. Cepat tangannya memukul jemari Nurul Huda yang menggenggam erat jemarinya.
“Auch! Sakitlah maksu,”rengek Nurul Huda sambil menggosok jemarinya yang terasa sedikit pedih.
“Rasakan. Nak mainkan maksu ya?,”balas Mak Su Senah dengan wajah yang serius. Nurul Huda tergelak kecil. Tubuh Mak Su Senah dirangkul mesra.
“Alaa.. maksu. Janganlah marah. Tengok. Dah bertambah kedut kat muka ni haa,”Nurul Huda bersuara separuh memujuk.
“Pandailah kamu nak mengambil hati ya?,”Mak Su Senah bersuara sambil menyembunyikan senyum yang hampir mekar.
“Haa… Macam tulah”sakat Nurul Huda sambil ketawa. Sudahnya Mak Su Senah turut tergelak. Agak lama tawa yang pecah antara mereka, sebelum masing-masing kembali menyepi.
“Along pernah pulang ke sini dulu,”tiba-tiba Mak Su Senah bersuara. Nurul Huda berpaling. Menatap wajah Mak Su Senah. Khayalannya pecah dek kata-kata Mak Su Senah.
“Sebulan selepas arwah ayah Huda meninggal. Dua hari selepas Huda hilang entah ke mana,”sambung Mak Su Senah tanpa dipinta. Nurul Huda terdiam seketika.
“Lama ke Abang Helmi balik?,”akhirnya dia bertanya.
“Lama juga. Dia tanyakan Huda. Tapi, maksu nak cakap apa? Maksu pun tak tahu ke mana Huda pergi. Lama dia tinggal di sini. Tunggu kalau-kalau Huda balik semula. Lepas tu, dia balik semula ke Kuala Lumpur. Beberapa kali dia datang, selepas tu. Tanya maksu, mana Huda pergi. Agaknya bila dah selalu sangat maksu cakap tak tahu, dia jadi jauh hati. Sampai sekarang dia tak pulang ke sini,”
Nurul Huda cuma diam mendengar cerita mak Su Senah yang panjang lebar. Helmi datang mencarinya? Untuk apa? Tanpa sedar, sekuntum senyuman pahit terukir di bibirya.

***

4 comments:

aqilah said...

hanni, tak sabar akak nak bc sambungan cite ni. semua cite hanni best best pada akak exspecially Biar YM Berbicara. new n3 please!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Anonymous said...

btul222..
sokong 100%.. x sbr nk tau crita sbnr..

Yuyun said...

setuju juga dgn 2 yg di atas...penantian suatu penyeksaan..hehehe

Anonymous said...

saya pun stuju ngan mereka semua, cite k.hanni semuanya best gilerr.. bila nak samb...