Monday, September 1, 2008

Di Penghujung Rindu

Dia leka menghadap laut yang maha luas. Melayan menungannya yang amat panjang. Cukup panjang sehingga mampu memisahkannya dari dunia realiti. Dia tidak lagi berada di situ. Dia berada jauh di dunia kenangannya. Kenangan yang pastinya amat sukar untuk dia luputkan dari ingatannya. Sesekali dia membetulkan rambutnya yang ditiup angin petang. Terasa nyaman menyapu wajahnya. Dia menghela nafas yang cukup panjang. Pantai ini adalah pantai kenangannya. Terlalu banyak kenangan manis zaman kanak-kanaknya yang tertinggal di situ. Hari ini, dia kembali ke situ. Mengutip semula kenangan- kenangan itu. Sesungguhnya hidupnya sebati dengan kenangan. Kenangan lalu, menjadi nadi yang menyambung hidupnya sehingga ke hari ini. Sesekali kakinya basah di sapu ombak yang menghempas pantai. Terasa ombak itu seperti air mata yang sentiasa membasahi pipinya satu ketika dulu. Namun, kini air mata telah kering di pipinya. Kenangan telah mematangkannya. Kenangan juga telah mengajarnya agar tidak terus menangisi suratan takdir. Terlalu banyak perkara yang terpaksa dia lalui. Peristiwa demi peristiwa yang akhirnya menjadikan dia seorang pelarian sepi.
Namun, hari ini, pelariannya berakhir di sini. Hari ini, dia telah kembali ke bumi kenangannya. Dia rindukan udara tanah air sendiri. Dia rindukan hembusan bayu pantai ini. Dia rindukan kenangan-kenangan manis kisah hidupnya yang lalu. Tetapi, suatu perkara yang amat pasti, untuk mengecapi segala kenangan manis itu, dia terpaksa mengheret sama pahit kenangan yang membawanya terbang jauh ke bumi asing.. Kakinya tersepak sesuatu. Mengembalikan alam realitinya. Dia tunduk. Kulit siput di kakinya, dicapai perlahan. Lantas, dengan cepat ingatannya menangkap seraut wajah. Wajah yang pernah akrab dengan jiwanya. Wajah yang mengubah segaris perjalanan hidupnya. Namun, dia tidak menyesal. Tidak pernah menyesal.
“Cantiklah kulit siput ni,”
“Ini abang punyalah,” dengan pantas kulit siput di tangannya bertukar tangan. Dia tersentak. Kulit siput di tangannya, terjatuh semula ke pasir. Selintas kenangan itu datang menerpa. Kenangan zaman kanak-kanaknya. Bibirnya menguntum senyum. Along… di manakah lelaki itu kini? Dia tidak tahu. Dan, sebenarnya dia tidak mahu mengambil tahu tentang itu semua. Jauh dia membawa diri pun, kerana ingin lari daripada lelaki itu. Demi kebahagiaan lelaki itu. Demi…demi ketenangan jiwanya sendiri. Tenangkah jiwanya? Tenangkah jiwanya setelah meninggalkan bumi Malaysia lima tahun lalu? Entahlah. Dia sendiri kurang pasti. Barangkali dia sudah menemui ketenangan itu. Kalau tidak, manakan dia dapat segunung ketabahan yang menjadi kekuatan untuk dia meneruskan hidup ini.
“Huda… tak nak balik ke? Dah nak Maghrib ni,” satu suara menyentuh gegendang telinganya. Dia berpaling. Mengukir sekuntum senyum buat wajah tua di hadapannya. Perlahan dia melangkah, berjalan seiring dengan langkah longlai wanita separuh umur itu.
“Lama betul Huda termenung tepi pantai tu. Apa yang Huda menungkan?,”
Nurul Huda menoleh. Sekali lagi dia tersenyum. Tanpa menjawab, dia cuma menggelengkan kepala.
“Entahlah Mak Su. Saya pun tak tahu. Leka pula tengok laut,” akhirnya dia bersuara. Mak Su Senah senyum.
“Dulu tengok laut dengan Along…sekarang ni, tengok laut sorang-sorang. Tak cuba cari dia ke?,” suara tua itu bertanya satu soalan yang tidak ingin dia jawab. Sudahnya dia cuma berdiam diri. Menyedari maksud kebisuan itu, Mak Su Senah tidak lagi bersuara. Daripada petang semalam Nurul Huda mengelak untuk menjawab soalan itu. Nurul Huda mengerling ke arah ibu saudaranya. Wanita itu turut menguunci mulut sekarang. Dia tersenyum kecil. Tidak tahu apa maksud kebisuan Mak Su Senah. Kecil hati kerana soalannya tidak berjawab atau… sudah tidak kuasa untuk mengulangi soalan yang sama buat ke sekian kalinya.
“Saya tak balik untuk cari dia, Mak Su,” akhirnya Nurul Huda menjawab soalan Mak Su Senah. Mak Su Senah merenung wajah Nurul Huda yang tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Sukat untuk menebak apa yang bersarang di hati gadis itu.
“Kamu berdendam ya?,”
“Tak. Saya tak pernah berdendam. Cuma, tak ada sebab untuk saya cari dia, Mak Su,”
“Huda…kamu kena cari dia. Banyak sebab kenapa kamu mesti cari dia. Kamu sendiri pun tahu, kamu memang kena cari dia.
“Tidak. Saya tak perlu cari dia. Antara saya dengan dia… kami tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa hutang pun,”
“Huda…Huda…Ini bukan soal hutang. Tapi, soal ikatan. Kamu terikat dengan dia. Kamu perlu cari dia. Untuk leraikan ikatan itu, atau untuk kukuhkan ikatan itu…terserah pada kamu. Yang penting kamu kena cari dia,”
“Saya tak terasa terikat, Mak Su,”
“Tapi, sampai bila?,”
Nurul Huda diam. Tiada jawapan untuk soalan itu,kerana dia juga kurang jelas dengan penghujung hubungan itu.
“Excuse me?,”
Sapaan itu memaksa Nurul Huda menoleh.
“Huda. Nurul Huda,” satu suara girang pecah dari bibir seorang gadis yang amat dia kenali. Dia tersenyum.
“Ya,”jawabnya sepatah bersama senyuman yang makin melebar apabila mendengar temannya itu tergelak girang. Tanpa di duga, tubuh langsingnya dipeluk erat.
“Oh… I miss you. Aku rindukan kau, Huda,”
Nurul Huda membalas pelukan itu, kemudian perlahan dileraikan. Dan, dia melihat ada air mata yang membasahi pipi gadis di hadapannya itu.
“Ke mana kau menghilang?,”
Nurul Huda tersenyum kecil.
“Tak ke mana. Kenalkan. Mak saudara aku. Mak Su,… ini kawan satu university dengan saya dulu. Maria,”
Maria tersenyum mesra.
“Apa khabar, makcik?,” sapa Maria sambil menyalami tanagn Mak Su Senah.
“Baik,”
“What are you doing here?,” soal Nurul Huda sambil merenung wajah temannya itu. Wajah itu nampak sungguh berseri. Maria tersenyum manis.
“Aku? Aku honeymoon kat sini,”
“Honeymoon? Bila kau kawin? Dengan siapa? Aku kenal ke?,”
“Two weeks ago. Dengan siapa lagi…Mestilah dengan Shahrul. Selepas lima tahun lebih, baru nak kawin dengan aku. Tapi, tak apalah. At last… dia kahwin juga dengan aku,”
“Tahniah, Maria. Dalam selalu bergaduh pun… kau kahwin juga dengan si Shahrul tu ya? Mana dia?,”
“Huda… Maksu balik dulu lah. Kamu, berboraklah dulu dengan kawan kamu. Tapi, jangan lama sangat. Nanti Faiz tercari-cari pula,” Mak Su Senah mencelah di tengah-tengah kerancakan bicara dua teman itu.
“Yalah, Maksu,”
“Ha..ha… Siapa Faiz tu?,” soal Maria setelah Mak Su Senah sudah jauh meninggalkan mereka. Nurul huda diam seketika. Dia tidak mengandaikan yang dia akan bertemu dengan insan yang pernah datang di dalam hidupnya dulu. Namun, kini…dia berdepan dengan Maria. Insan yang pernah rapat dengannnya dulu. Satu situasi yang, kalau boleh ingin dia elak. Dia tidak mahu bercakap tentang hidupnya. Tidak mahu. Berat mulutnya untuk menjawab soalan Maria.
“Mana Shahrul?,”
“Shahrul tak akan lari. Now, tell me. Who’s Faiz?
“Bukan seperti yang ada dalam kepala kau tu. Cukup jawapan aku?,”
“Well …kalau bukan seperti yang sedang bermain dalam kepala aku ni…then what? Tell me friend,”
Nurul Huda diam. Berat sungguh mulut untuk menjawab soalan itu. Satu jawapannya pasti akan mencipta berpuluh soalan lain untuk dia jawab. Itu yang dia tidak mahu.
“Huda…dah pandai berahsia denagn aku ya?,”Maria bersuara dengan nada sedikit perlahan.
“My son,” akhirnya dia menjawab pendek.
“What? Bila kau kawin? Dengan siapa? Sampai hati kau tak beritahu aku pun,”
“Kau pun…kahwin tak bagitau aku,”
Maria tersenyum.
“Bukan aku tak mahu bagitau. Tapi, I don’t know how to contact you. Kau hilang macam tu saja. Aku minta maaf,”
“Aku tak kisahlah. Aku tahu bukan salah kau. Walau macam mana sekalipun, aku ucapkan tahniah. Aku doakan rumahtangga kau kekal hingga ke akhir hayat,”
“Terima kasih. Aku pun berharap macam tu. Kau… mana suami kau?,”
“Aku tak nak cakap pasal ni. Tukar topik, boleh?,”
“Divorce?,”
“Please… aku tak nak cakap pasal aku. Kita cakap pasal kau. Macamana Shahrul melamar kau?,”
Maria tergelak kecil.
“Betul kau nak tahu?,”
Nurul Huda mengangguk.
“He proposed me in front of my parent. Can you believe that? Terkejut aku. Tak sangka. Dia tak bagi apa-apa clue pun sebelum tu. You know Shahrul…suka sangat buat surprise,”Maria bercerita dengan wajah berseri-seri. Nurul Huda turut tersenyum. Tumpang gembira dengan kebahagiaan yang dikecapi temannya itu.
“Aku betul-betul berharap kau akan bahagia sampai bila-bila,”
Maria tersenyum kecil.
“Aku pun harap macam tu,” balasnya dengan mata yang bersinar-sinar. Sememangnya temannya itu amat berbahagia saat ini.
“Hey….Tak nak jumpa Shahrul ke? Dia mesti terkejut tengok kau kat sini. Jumpa kau kat restoran tu malam ni? Pukul 8.00. ok?.” ujar Maria tiba-tiba sambil jarinya menunding ke arah sebuah restoran makanan laut di hadapannya.
“Aku tak bolehlah,”
“Please…kalau kau tak ada masa, sekejap pun taka pa. tolonglah. Takkan tak sudi nak jumpa kawan-kawan lama kot,”
“Aku tak kacau honeymoon kau orang,”
“Mengarutlah kau. Cakap je lah kau memang tak nak jumpa kami lagi. Kan?,” Maria bersuara dengan nada merajuk. Membuat Nurul Huda serba salah. Itulah kelebihan Maria, dan itulah kelemahannya. Tidak sampai hati untuk menghampakan Maria. Tidak sampai hati melihat Maria merajuk.
“OK lah,”
Wajah murung temannya kembali ceria.
“Macam tulah,” ujar Maria senang.
Nurul Huda tersenyum kecil. Betul ke tindakannya ini? Tidakkah nanti pertemuan ini akan mendekatkan dia dengan seseorang yang amat tidak mahu dia temui?

****

No comments: